Klausa pelepasan sebanyak €700 juta (RM3.4b) yang termaktub dalam kontrak Lionel Messi di Barcelona masih lagi berkuat kuasa dan perlu ditebus, kata LaLiga.

Messi telah memaklumkan kepada Barca bahawa dia mahu angkat kaki tetapi dia tidak menghadiri ujian perubatan pra-musim di samping rakan sepasukannya, semalam.

Menurut laporan, bintang Argentina itu percaya klausa kontraknya tidak akan bernilai pada penghujung setiap musim dan dengan itu dia kini merupakan ejen bebas.

Sebaliknya, ia masih lagi berjalan memandangkan musim 2019-20 dilanjutkan hingga hari ini berikutan wabak COVID-19 apabila Barcelona menegaskan mana-mana kelab yang mengidamkan sentuhannya perlu membayar pampasan setinggi itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, LaLiga menegaskan bahawa kontrak Messi hanya boleh ditamatkan jika klausa pelepasan pemain itu telah dibayar sepenuhnya.

LaLiga dalam satu kenyataan berkata: "Kontrak ini masih berkuat kuasa dan 'klausa pelepasan' perlu diaktifkan sekiranya Lionel Andres Messi memutuskan untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal. Ia berdasarkan artikel 16 keputusan kerajaan 1006/1985, 26 Jun lalu, bersabit peraturan di antara majikan dan atlet profesional.

"Sesuai dengan peraturan yang ada dan berdasarkan prosedur yang sesuai dalam peraturan ini, LaLiga tidak akan meneruskan proses pembatalan pendaftaran pemain kecuali mereka telah menjelaskan jumlah klausa itu."