Atletico Madrid kembali ke puncak LaLiga dengan hanya berkelebihan satu mata selepas terikat 1-1 dengan Real Betis di Estadio Benito Villamarin awal pagi tadi.

Real Madrid memintas seteru setempat mereka itu selepas menewaskan Barcelona dalam pertembungan Clasico semalam dan sebagai respons, pasukan bimbingan Dieo Simeone, Atletico, mempamerkan permulaan baik ketika menentang Betis.

Yannick Carrasco menjaringkan gol terpantas mereka musim ini menerusi golnya dalam tempoh empat minit dan 36 saat sebaik perlawanan bermula.

Bagaimanapun, Cristian Tello membalasnya berselang 15 minit untuk Betis menghidupkan peluang mereka ke Kejohanan Eropah musim depan susulan voli gemilang yang tepat ke penjuru kanan bawah gawang Atletico.

Mengejar rekod empat kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak April 2018, Betis muncul pasukan yang lebih baik dalam babak kedua, namun penjaga gol Atletico, Jan Oblak, beraksi ampuh untuk menafikan percubaan lawannya manakala di gawang bertentangan, Claudio Bravo juga beraksi tangkas menghalang percubaan berbahaya daripada Angel Correa untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Seterusnya, Betis akan menantikan kunjungan Valencia manakala Atletico pula akan melayani Eibar dalam saingan LaLiga hujung minggu ini.