Kyle Lafferty memuji teknik motivasi yang diterapkan oleh Michael O'Neill sehingga menyebabkan setiap pemain Ireland Utara sanggup 'bermandi darah' untuknya selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Azerbaijan.

Ireland Utara telah melalui peningkatan sejak berada di bawah kendalian O'Neill pada Disember 2011 apabila mereka berjaya untuk bangkit dari kedudukan ke-129 dalam ranking FIFA ke nombor 36.

O'Neill juga telah membawa pasukannya ke Euro 2016 buat julung kalinya dan selepas meraih kemenangan 4-0 di Belfast, mereka kelihatan mempunyai peluang yang cerah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986.

Lafferty memberitahu pemberita: "Jika anda melihat kembali enam atau tujuh tahun lalu, ini adalah jenis permainan yang sukar untuk kami tampilkan. Tetapi sekarang, kami berjaya untuk menewaskan pasukan seperti itu dengan lebih mudah.

"Dengan O'Neill, semua orang mahu bermain untuknya. Setiap pemain sanggup 'bermandi darah' untuknya.

"Tiada apa yang perlu kami risaukan [dari segi tidak layak ke Piala Dunia] jika kami meneruskan corak permainan seperti ini."

Ireland Utara berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan C selepas empat perlawanan, dengan dibezakan lima mata daripada pendahulu, Jerman.