RAPID VIENNA 1 ARSENAL 4

Alexandre Lacazette mengakui berita kepulangan peminat Arsenal ke stadium merangsang ketajaman sentuhan pemusnahnya.


Penggempur Perancis itu kemarau jaringan dalam lapan perlawanan sebelum meledak gol menarik jarak jauh untuk kemenangan 4-1 ke atas Rapid Vienna dalam pertembungan Kumpulan B, Liga Europa di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Ia perlawanan pertama di England yang membenarkan kehadiran 2,000 di Stadium Emirates sejak krisis COVID-19 semakin meruncing Mac lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu berasakan sokongan berkenaan membantunya mencetak gol pertama sejak kali terakhir melakukannya pada penghujung September lalu iaitu ketika tumbang 1-3 kepada Liverpool.

Dia memberitahu BT Sport: "Ia mengagumkan, kami gembira dapat melihat kehadiran penyokong pada hari ini dan ia amat membantu permainan kami.

"Malah, dalam detik sukar sekalipun mereka masih menuntut kami beraksi dengan baik. Jelas sekali kami beraksi dengan sangat baik, bola sepak yang menarik.

"Ia sungguh manis apabila penyokong berdiri di belakang kami. Bukan mudah buat saya dalam beberapa minggu terakhir ini tetapi sebaik melihat mereka hadir memberikan sokongan, saya menikmatinya dan saya perlu berterima kasih kepada mereka."

Lacazette muncul pemain kelapan yang menghimpunkan 20 gol Liga Europa sejak memahat gol pertamanya pada 2009-10, iaitu jaringan ketiganya menerusi rembatan jarak jauh.

Pablo Mari menanduk gol kedua menerusi sepakan penjuru sebelum Eddie Nketiah menyempurnakan satu gerakan menarik berpasukan untuk gol ketiga buat jaguh dari London itu bertambah selesa menuju waktu rehat.



Arsenal, yang sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 dengan reputasi juara kumpulan, menyumbat gol keempat melalui Emile Smith Rowe sekali gus menguburkan hajat kebangkitan seteru dari Autria itu selepas Koya Kagawa cuba merapatkan menjadi 1-3 sebaik permainan bersambung.