Bruno Labbadia telah dinamakan selaku pengurus baru Hertha Berlin.

Kelab Bundesliga itu telah mempercepatkan pelantikan pengendali berusia 54 tahun itu selepas dia bakal dilantik ketika hujung musim sebelum saingan di Jerman ditangguhkan susulan wabak coronavirus.

Labbadia -- yang akan memulakan tugas 13 April ini -- menggantikan Alexander Nouri yang mengisi kekosongan jawatan itu susulan peletakan jawatan Jurgen Klinsmann.

"Ekoran situasi melibatkan coronavirus dan musim terganggu, kami meneliti langkah musim panas lebih awal," kata Pengarah Urusan Hertha Berlin, Michael Preetz.

"Kami membuat keputusan untuk menggunakan peluang ini bagi mempersiapkan pasukan dalam beberapa minggu lagi sebelum saingan disambung."

Awal minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bundesliga, Christian Seifert, mengesahkan perancangan untuk menyambung saingan liga secara tertutup pada bulan depan.

Labbadia sebelum ini mengendalikan Wolfsburg sebelum meninggalkan kelab itu pada musim lalu selepas mengemudi pasukan menduduki tangga keenam liga dan layak ke Liga Europa.

Hertha kini menduduki tempat ke-13 liga sewaktu Bundesliga ditangguhkan.