Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Angel Maria Villar, yang digantung, memberi amaran bahawa campur tangan kerajaan boleh membebankan pasukan kebangsaan negara itu dalam Piala Dunia di Russia tahun depan.

Villar telah dibuang daripada jawatan itu pada Julai lalu dan sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan pengurusan yang tidak wajar, penyelewengan dana, rasuah dan memalsukan dokumen.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini mengesahkan bahawa mereka telah menghantar surat kepada RFEF yang menyatakan keprihatinan mengenai kebebasan badan induk itu dan mengingatkan tentang kewajipan mereka dalam memastikan 'urusan mereka secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh pihak ketiga'.

Villar percaya bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Sepanyol boleh digantung daripada menyertai Piala Dunia lalu membolehkan negara lain mengambil tempat mereka pada musim panas akan datang.

"Satu-satunya yang bertanggungjawab mengenai kemungkinan pasukan kebangsaan boleh digantung daripada menyertai Piala Dunia adalah kerajaan," katanya dalam satu sidang akhbar.

"Tiada siapa yang mahu ia berlaku, terutama saya, tetapi ada pasukan kebangsaan lain seperti Itali yang terlepas pada Piala Dunia yang berpeluang untuk mengambil tempat dalam Piala Dunia," katanya.

Presiden LaLiga, Javier Tebas, menolak komen Villar itu dengan berkata: "Villar adalah FIFA yang lama dan cara beliau bertahan selama 70 tahun telah menjadi ketakutan dan ancaman.

"Ini adalah perkara yang tidak akan berlaku. FIFA tidak akan melakukannya (menendang Sepanyol keluar) kerana FIFA yang baru tidak akan berbuat demikian.

"Anda perlu menyokong kerajaan. Keputusan yang mereka ambil adalah berdasarkan undang-undang.

"Sepanyol mengekalkan kedaulatan undang-undang. Villar telah berkali-kali menuduh kerajaan. Villar hidup dalam dunia sendiri," tambahnya.

Setiausaha Sukan Sepanyol, Jose Ramon Lete, menambah: "Perkara pertama yang perlu dikatakan adalah, Sepanyol memenangi tempat dalam Piala Dunia dengan cemerlang, atas merit mereka sendiri.

"Saya yakin bahawa (tempat Sepanyol dalam Piala Dunia) tidak dalam bahaya."