Kutipan satu mata satu petanda positif -- Bale

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2016 7
Kutipan satu mata satu petanda positif -- Bale

Bintang Wales, Gareth Bale, menganggap kutipan satu mata berdepan Austria sebagai perkara positif meskipun pasukannya dua kali mendahului perlawanan.

Wales diikat seri 2-2 oleh Austria di Vienna meskipun dilihat bakal menamatkan perlawanan dengan kutipan tiga mata.

Pemain Real Madrid itu terlibat dengan kedua-dua gol yang dijaringkan apabila hantaran lambungnya berjaya menemui Joe Allen yang meledak gol pertama sebelum lontaran berbahayanya menjadi punca Kevin Wimmer menjaringkan gol sendiri.

Rakan sepasukan Allen di Stoke City, Marko Arnautovic, menjadi penyelamat Austria apabila meledak dua gol untuk memastikan mereka tidak kecundang di laman sendiri.

Meskipun seri, Wales kekal selaku pendahulu Kumpulan D dengan perbezaan gol dan Bale mengakui gembira dengan kepututusan itu.

"Bukan mudah untuk mengutip satu mata di Vienna," katanya kepada BBC. "Banyak pasukan kecundang beraksi di sini, satu mata ini memadai.

"Penting untuk kami kekal cemerlang apabila berdepan Georgia di laman sendiri nanti."

Pengendali Wales, Chris Coleman, turut bersetuju dengan pemain bintangnya itu sambil mengakui mereka tidak beraksi di tahap sepatutnya.

"Kami perlu berpuas hati dengan keputusan ini," katanya. "Ini bukan permainan terbaik kami, itu kami tahu, apatah lagi Austria pasukan yang mantap apabila beraksi di laman sendiri.

"Jika kami mahukan tiga mata, setiap pemain perlu berada di tahap terbaik -- tetapi bukan malam ini. Nasib berada di pihak kami kali ini.

"Jika kamu berjaya mengutip satu mata walaupun tidak bermain dengan baik, itu satu petanda positif."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen