Pengendali Itali, Giampiero Ventura, mengakui kekurangan pengalaman menjadi punca pasukannya hampir dimalukan Macedonia dalam pertemuan kelayakan Piala Dunia 2018.

Itali berdepan kemungkinan dimalukan pasukan yang berada di ranking ke-146 dunia itu apabila ketinggalan 2-1 dengan perlawanan yang berbaki 15 minit dalam separuh masa kedua.

Bagaimanapun, dua gol sumbangan Ciro Immobile dalam tempoh 15 minit terakhir itu -- termasuk jaringan pada masa kecederaan -- menghadirkan kemenangan 3-2.

Itali kini mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan dalam saingan Kumpulan G.

Ventura, bagaimanapun, berpuas hati dengan aksi anak buahnya yang dianggap mempunyai semangat untuk kembali bangkit.

Namun, dia mengharapkan barisan pemainnya untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

"90 peratus daripada kesilapan pemain saya hadir kerana kurangnya pengalaman di pentas antarabangsa," katanya kepada Rai Sport.

"Kesabaran sangat penting apabila kamu menurunkan majoriti pemain muda.

"Mereka kembali bangkit dan itu membuktikan mereka memiliki karektor untuk tidak menyerah kalah.

"Ada masanya kami tidak bermain sebagai satu pasukan tetapi di hujung perlawanan, pemain mula bekerjasama untuk menghadirkan kemenangan ini.

"Kemenangan ini menjadi bukti kami mampu melakar sesuatu."