Ketika kuota pemain ASEAN sudah diperkenalkan untuk saingan Liga Malaysia tahun depan, pelbagai reaksi disuarakan mengenai pelaksanaannya.

Malah, ia turut menimbulkan persoalan adakah semua pasukan sudah bersedia dengan pembaharuan ini dan bagaimana pula nasib pemain tempatan?

Trend pengambilan pemain import dari Asia Tenggara kembali wujud selepas kuota Asia mula diperkenalkan pada 2013.

Bermula dengan penghijrahan Andik Vermansyah ke Selangor dan Hariss Harun ke Johor Darul Ta'zim (JDT), Liga Malaysia kian mendapat tempat buat pemain lain di rantau ini.

Difahamkan, purata gaji mereka daripada RM40,000 hingga RM70,000 -- jumlah kos yang agak tinggi untuk perbelanjaan pengambilan pemain import memandangkan kualiti permainan mereka tidak jauh berbeza dengan kebanyakan pemain tempatan.

"PKNS akan melihat kepada perkara yang telah diputuskan dalam peruntukan bajet. Bagi kuota ASEAN ini, kalau menepati bajet barulah kami ikut.

"Kesimpulannya, ia bergantung kepada kualiti pemain yang kami ada. Kedua, kami bergantung kepada peruntukan yang ada," kata Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

Dalam konteks kemajuan bola sepak negara, ia perkara subjektif untuk mengatakan kehadiran pemain import sebagai faktor kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Namun, ketika polisi pemain import diharamkan dari tahun 2009 hingga 2011, skuad negara mencipta gemilang di peringkat tertinggi.

"Ketika kita menjadi juara Sukan SEA 2009, 2010 dan Piala Suzuki AFF 2010, masa itu kita tiada pemain asing. Ini bermakna kita nampak sesuatu," kata bekas jurulatih, Aminuddin Hussin.

Sememangnya, pemain tempatan tiada pilihan selain perlu memberi saingan hebat kepada pemain berstatus import ini untuk mereka kekal beraksi dalam tempoh lama.

"Kalau mereka (pemain tempatan) ada 'standard' ataupun sama dengan pemain ASEAN lain, mengapa kita perlu ambil pemain ASEAN, kita perlu kekal dengan pemain tempatan.

"Tetapi pemain kita tidak boleh mencabar pemain Thailand, Indonesia atau Vietnam, maka liga itu dikatakan lemah.

"Kita ambil contoh, berapa pemain Sepanyol dalam kelab-kelab Sepanyol? Atau berapa pemain Inggeris dalam kelab-kelab di England?" kata bekas jurulatih negara, B. Sathianathan.

Antara pemain Asia Tenggara paling menyerlah tahun ini semestinya bekas pemain LionsXII dari Kota Singa, Safuwan Baharudin, yang kini beraksi bersama PDRM.

Safuwan berjaya menjaringkan 10 gol sementara Mark Hartmann dari Filipina tidak ketinggalan dengan merekodkan sembilan gol pada musim ini.

Sementara itu, Juliano Mineiro dari Timor-Leste yang bersaksi dengan pasukan Selangor pula mencatat lima gol.