Penyerang skuad bawah 22 tahun negara, S. Kumaahran, yang selamat menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) hari ini, mengakui sedikit bimbang dengan masa depannya apabila kontraknya bersama Pulau Pinang bakal berakhir tahun ini.

Terpaksa berehat sekurang-kurangnya sehingga Februari depan, situasi itu meletakkan dirinya dalam bahaya apabila ketiadaan pasukan pada musim 2018.

Dengan kontraknya bersama Pulau Pinang berakhir penghujung tahun ini, Kumaahran tidak menafikan kecederaan yang dialami ketika menentang Indonesia dalam separuh akhir Sukan SEA 2017, hadir bukan tepat pada masanya.

Justeru, dia bertekad untuk pulih secepat mungkin dan berharap peluang untuk beraksi dengan mana-mana pasukan tetap ada.

"Saya rasa sedih sebab ini adalah tahun terakhir kontrak saya dengan Pulau Pinang dan mengalami kecederaan pula. Tetapi saya masih percaya saya boleh dapatkan pasukan untuk tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Kumaahran menjelaskan dia tidak serik untuk terus berbakti kepada skuad negara pada masa akan datang.

Jelasnya, kecederaan itu boleh dialami sesiapa saja dan ia belum mematahkan hasratnya untuk terus bermain secara kompetitif.

"Senior saya ramai yang alami kecederaan ACL, jadi saya minta nasihat bagaimana untuk pulih daripadanya, termasuk daripada segi makanan, untuk tidak mahu berat badan meningkat.

"Saya akan buat pemulihan mungkin di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau MSN (Majlis Sukan Negara). Di sana ada kemudahan yang mencukupi," tambahnya.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu pernah menjalani latihan bersama kelab Brazil, Cruzeiro, pada 2011 dan merupakan pemain skuad Harimau Muda yang beraksi dalam Liga Singapura pada 2015.


S. Kumaahran

Umur : 21 Tahun
Asal : Pulau Pinang
Posisi : Penyerang
Kelab Terkini : Pulau Pinang

Kerjaya :
• Malaysia B-22 - 2017
• Harimau Malaya - 2015
• Harimau Muda C - 2014
• Piala Presiden Pulau Pinang- 2013