Kuintet Liverpool jadi pilihan barisi kesebelasan terbaik UCL 

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 1501
Kuintet Liverpool jadi pilihan barisi kesebelasan terbaik UCL 
Liverpool menguasai undian Pasukan Liga Juara-Juara (UCL) 2019 yang menyaksikan lima tonggak The Reds itu muncul dalam kesebelasan utama di samping Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Jurgen Klopp mengetuai Liverpool untuk meraih gelaran keenam mereka itu di Madrid, Jun lalu selepas Mohamed Salah dan Divock Origi menemui sasaran penyudah dalam kemenangan 2-0 ke atas Tottenham di peringkat penentuan di Wanda Metropolitano.

Virgil van Dijk, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan, turut tersenarai di samping Trent Alexander-Arnold, Andy Robertson serta penjaga gol, Alisson Becker.

Sadio Mane merupakan seorang lagi pemain daripada kelab liga Inggeris itu dalam senarai berkenaan bagi melengkapkan senarai empat penyerang yang turut dibarisi Messi, Ronaldo dan penggempur Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Matthijs de Ligt dan Frenkie de Jong, yang berpindah ke Juventus dan Barcelona dengan nilai tinggi selepas membantu Ajax ke separuh akhir musim lalu, turut menjadi pilihan untuk mengisi bahagian tengah yang turut disertai pemain Manchester City, Kevin De Bruyne.

Lebih daripada dua juta undian diperoleh bagi memilih senarai pasukan pilihan itu melalui UEFA.com yang dijalankan sepanjang enam minggu.

Kesebelasan Terbaik UCL 2019: Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk, Matthijs de Ligt, Andy Robertson, Frenkie de Jong, Kevin De Bruyne, Ronaldo, Sadio Mane, Robert Lewandowski, Lionel Messi.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen