KUFC sahkan semua pemain bebas Covid-19

Oleh Farizal Yusoff 13 April 2020 13
KUFC sahkan semua pemain bebas Covid-19
Kelantan United FC (KUFC) mengesahkan semua pegawai dan pemainnya berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan termasuk gejala Covid-19 sepanjang mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.

Setiausaha Eksekutif, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pihaknya sentiasa memantau tahap kesihatan pemain dan meminta mereka akur berada di rumah masing-masing sambil melakukan kerja rumah sebagaimana yang telah diatur oleh pihak kejurulatihan.

"Kami (KUFC)  tiada masalah untuk terus bersama pihak berkuasa bagi memerangi wabak pandemik Covid-19 malah kita amat mengalu-alukan lanjutan ini jika ia satu langkah terbaik".

“Semua pemain perlu meneruskan kerja rumah yang diberikan dan perlu menghantar kembali dalam bentuk video untuk semakan barisan jurulatih.

“Biarpun sedikit janggal tetapi dengan situasi yang ada sekarang kita minta semua pemain akur dan sentiasa berdoa supaya Liga Malaysia (Liga-M) ini dapat disambung semula,” katanya.

Ditanya isu pemotongan gaji pemain, Wan Mohd Zul menjelaskan satu mesyuarat pengurusan tertinggi akan diadakan minggu ini bagi membincang dan membuat keputusan terhadap isu tersebut.

“Insya-Allah kita akan maklumkan kepada anda (media) sebarang keputusan yang akan diambil terhadap isu ini. Untuk makluman, tidak ada sebarang pemotongan gaji pada bulan Mac lepas,” katanya.

Sementara itu, KUFC turut menghulurkan sumbangan sebagai tanda kebersamaan dalam menghadapi wabak yang cukup berbahaya ini.

“Dalam fasa pertama PKP, KUFC ada melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbangkan pensanitasi tangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu. 

“Biarpun nilai sumbangan tidak seberapa tetapi kami berbesar hati menunjukkan penghargaan kepada barisan hadapan yang sentiasa menjaga keselamatan negara,” katanya.


Kredit Foto: KUFC

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen