Seramai 40 orang yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan pihak pengurusan Kelantan United FC (KUFC) menerima habuan menunaikan umrah sempena kejayaan menjulang kejuaraan Liga M3.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata hadiah pakej umrah itu ditaja syarikat Qashwa Travel dan presiden, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, akan mengetuai rombongan itu.

"Alhamdulillah. Terima kasih atas rezeki ini dan kami akan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 26 November ini dengan menggunakan bas Musafir tajaan Konsortium E-Mutiara Berhad.

"Tajaan umrah ini adalah hadiah terbaik kepada pasukan yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim ini sehingga mampu menjulang Liga M3 dan layak beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Zul menjelaskan kunjungan dan lawatan kerja KUFC ke Selangor United FC, Isnin lalu bertujuan mempelajari selok-belok pengurusan pentadbiran kelab itu yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini.

"Banyak ilmu yang kami dapat di sana dan KUFC bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2 hingga 4 Disember depan bagi membincangkan isu pelesenan kelab di Kota Bharu.

"Insya-Allah, kami sudah melakukan yang terbaik dan yakin dapat memenuhi semua kriteria yang dikehendaki," tambahnya.

Kredit Foto: Kelantan United FC