Kuching FA, Suwon FC jalin kerjasama 

Oleh Rudi Affendi Khalik 27 Oktober 2017 436
Kuching FA, Suwon FC jalin kerjasama 
Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA) sebentar tadi mengumumkan bahawa mereka kini menjalin kerjasama pintar dengan sebuah kelab dalam Liga Korea (Liga-K), Suwon FC, bagi memantapkan program pembangunannya pada masa akan datang.

Naib presidennya, Fazruddin Abdul Rahman, menjelaskan kerjasama itu akan bermula pada tahun depan menerusi latihan singkat dan pendedahan kepada pemain dan jurulatih pasukan itu untuk berlatih di kelab berkenaan.

"Bagaimanapun, fokus utama adalah program pembangunan dan pengembangan bakat.

"Ini kerana Korea Selatan agak mendahului daripada aspek itu," katanya dalam sidang media sebelum menandatangani perjanjian persefahaman dengan kelab tersebut di Kuching sebentar tadi.

Perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Suwon FC, Jeon Ohchan, dan Presiden Kuching FA, Rakawi Ibrahim.

Fazruddin juga memberitahu bahawa perjanjian itu juga memberi peluang kepada Suwon FC untuk berlatih di bandar raya Kuching pada luar musim.

"Dalam masa yang sama, kita juga mengadakan kerjasama dengan Akademi Bola Sepak Park Ji Sung di Suwon dan akan menghantar pemain untuk menyertai ujian pemilihan dan pertandingan di akademi tersebut.

"Ia untuk pemain bawah 14 tahun dan difahamkan pertandingan diadakan secara tujuh sebelah.

"Mungkin selepas berlatih singkat di akademi tersebut, bakat-bakat muda yang terpilih boleh meneruskan latihan dengan Suwon FC," tambah Fazruddin.

Mengenai program pertukaran pemain, Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong itu menjelaskan bahawa pihaknya berminat untuk menjayakan program tersebut dan Suwon FC meluahkan persetujuan untuk meminjamkan pemain mereka, namun peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan pemain import dalam Liga FAM.

Kuching FA merupakan juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat dan layak ke suku akhir Liga FAM musim ini.
 

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen