Kuching FA raih slot Liga Perdana 2020

Oleh Staff Writer 24 November 2019 1049
Kuching FA raih slot Liga Perdana 2020
Naib Juara Liga M3, Kuching FA, mengesahkan slot untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas menundukkan Sarawak 3-1 dalam perlawanan ‘play-off’ di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

Perlawanan ‘adik-abang’ yang menarik lebih 5,000 penyokong itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan untuk memburu gol awal sebaik wisel pertama ditiup.

Kuching FA tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi satu hantaran lambung ke dalam kotak penalti yang disambut tandukan padu Sahran Abdul Samad untuk menewaskan penjaga gol Sarawak, Andy Nicolas Nipen, bagi mendahului 1-0.

Bermula babak kedua, pemain tengah Kuching FA, Rafiezan Razali hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-51 selepas peluang terhidang di depan pintu gol Sarawak, namun rembatannya sekadar melewati palang gol.

Berselang seminit, Sarawak menyamakan kedudukan 1-1 menerusi satu gerakan dari tengah padang yang disudahkan oleh penyerang dari Brazil, Hudson Dias dengan sepakan separa voli dari sudut sukar menerjah gawang Kuching FA, menewaskan penjaga golnya, Mohd Iqbal Mohd Suhimi, pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan itu, pengendali Kuching FA, Ideris Untong, mengubah taktikal dengan mengeluarkan penyerang, Sufizal Ismail, dan membawa masuk seorang lagi pemain penyerang, Mohammad Hafis Saperi, bagi menambah cengkaman di barisan depan.

Percaturan itu ternyata berhasil apabila Hafis yang membelakangi gawang lawan bijak mengelirukan barisan pertahanan Sarawak dengan hanya menguis ke belakang bola hasil hantaran lintang Mohammad Zainudin Bohri, dengan kakinya ke dalam gol Sarawak untuk Kuching FA mendahului 2-1 pada minit ke-77.

Bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie menambah derita Sarawak apabila mencetak nama sebagai penjaring ketiga Kuching FA pada minit ke-85 selepas rembatan derasnya  dari dalam kotak penalti menewaskan Andy buat kali ketiga, sekali gus memastikan tiket ke Liga Perdana 2020 menjadi milik pasukannya dengan keputusan akhir 3-1.

Sarawak terpaksa mengharungi aksi ‘play-off’ itu selepas hanya berjaya menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga ke-11 manakala Kuching FA pula gagal melayakkan diri secara automatik selepas sekadar muncul naib juara Liga M3 di belakang Kelantan United.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen