Mahu jadi juara Liga FAM. Itu sasaran presiden baru Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (Kuching FA), Fazruddin Abdul Rahman, sejurus menang tanpa bertanding baru-baru ini.

Fazruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong ketika ditemui berkata pihaknya optimis dapat mencapai gelaran tersebut.

"Tidak tahu bila, tetapi saya optimis. Kami sedang mempersiap dan mempertajamkan pasukan," katanya lagi.

Pemilihan Fazruddin menggantikan Rakawi Ibrahim, yang telah memegang jawatan tersebut selama lebih 20 tahun, sudah dijangka dan dihormati.

"Kerana itu kami optimis dengan kemampuan pasukan yang bakal dimiliki ini.

"Mereka (Kuching FA) sebelum ini berjaya merangkul kejuaraan Liga Bola Sepak Rakyat dan layak ke suku akhir Piala FAM musim ini.

"Justeru, tidak mustahil untuk kami memastikan sasaran juara FAM akan tercapai," hujahnya.

Pada masa yang sama, tambahnya lagi, Kuching FA mempunyai kerjasama pintar dengan kelab bola sepak terkemuka dari Korea Selatan yang turut memberi fokus kepada program pembangunan bakatnya.

"Kami mahu memantapkan program kerjasama ini agar Kuching boleh menjadi "ladang subur" yang mengeluarkan pemain-pemain berbakat pada masa depan," jelasnya lagi.

Sejurus mengumumkan untuk tidak mempertahan jawatan, Rakawi dipilih sebulat suara sebagai penasihat Kuching FA.