Pengerusi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, mengesahkan juara dan naib juara LBR musim lalu, Kuching dan Padang Besar, akan kekal bersaing dalam saingan LBR musim 2016/2017.

Dua slot telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), buat kedua-dua pasukan tersebut, untuk beraksi dalam Liga FAM musim hadapan.

Namun, atas faktor kewangan, Kuching dan Padang Besar terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi, dan menumpukan perhatian kepada saingan LBR.

Jika mereka masih menunjukkan keinginan untuk beraksi dalam Liga FAM, Shamsul Anwar menegaskan kedua-dua pasukan perlu menggunakan pemain yang berlainan.

"Mungkin mereka masih belum bersedia untuk saingan kali ini. Kekangan seperti pertindihan atau pun jarak selepas mereka tamat perlawanan akhir untuk mereka beraksi dalam musim baru Liga FAM.

"Tetapi musim yang akan datang, selepas tamat saingan Liga FAM musim ini, mereka masih mempunyai peluang untuk bersaing dalam liga tersebut.

"Jika mereka bersedia dari segi logistik, pasukan dan kewangan, saya rasa tiada masalah untuk kedua-dua pasukan tersebut," ujar Shamsul Anwar.

Selain itu, Shamsul Anwar juga berbangga apabila beberapa pemain daripada LBR sudah mula diintai oleh beberapa pasukan yang beraksi dalam Liga FAM dan Liga Perdana.

Antaranya penjaring terbanyak LBR musim lalu, Nabila Khan Razali, sudah pun disunting oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

"Hampir 50 pemain telah dibawa untuk bermain dalam liga yang lebih tinggi. Maksud saya mungkin dalam liga peringkat negeri masing-masing, Liga FAM atau mungkin Liga Perdana, kerana untuk Liga Super, masih lagi belum ada pemain yang dibawa untuk beraksi.

"Sebelas pemain dari LBR Sarawak telah dipilih untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden dan Piala Belia."