Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, menjangkakan bahawa ketua jurulatih pasukan itu, Zinedine Zidane, akan kekal membimbing mereka musim depan.

Selepas menjuarai LaLiga musim lalu, Madrid terus bersemangat untuk menambah koleksi kejuaraan mereka walaupun sehingga ketika ini masih belum ada sebarang jaminan mengenai kejayaan mereka.

Madrid kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu LaLiga dan pasukan jiran, Atletico Madrid, selain masih bersaing dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bercakap menjelang perlawanan separuh akhir kedua UCL menentang Chelsea awal pagi esok -- selepas perlawanan pertama berkesudahan 1-1 -- Kroos memberikan pandangannya mengenai Zidane.

"Saya fikir dia akan menjadi jurulatih kami musim depan, dia masih mempunyai kontrak," kata Kroos sambil tertawa sewaktu sidang media.

Kroos yakin terhadap peluang Madrid untuk menewaskan Chelsea di Stamford Bridge biarpun tidak memperoleh keputusan yang diinginkan dalam perlawanan pertama.

"Kami amat kuat ketika bertahan dan saya fikir ia akan menjadi penting di peringkat ini dan perlawanan seperti ini dan berdepan lawan seperti Chelsea.

"Kami mahu mencipta lebih peluang berbanding perlawanan pertama. Kami mampunyai kemampuan untuk meneruskannya dan kami akan bersedia sebaik-baiknya bagi perlawanan ini tetapi kami perlu mencipta lebih banyak berbanding sebelum ini," katanya lagi.