Kroos dedah jadi rebutan Manchester United, Liverpool 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 Februari 2020 3461
Kroos dedah jadi rebutan Manchester United, Liverpool 
Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, hampir menyertai Manchester United pada 2014 dan turut mengadakan perbincangan dengan Liverpool pada tahun yang sama.

Pemain antarabangsa Jerman itu telah memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara (UCL) berturut-turut  selain LaLiga sejak menyertai Madrid daripada Bayern Munich, enam musim lalu.

Bagaimanapun, segalanya mungkin berbeza kerana Kroos hampir menandatangani perjanjian dengan United sebelum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membatalkan usaha berkenaan. 

 

"David Moyes datang untuk bertemu saya dan kontrak itu pada dasarnya sudah tersedia, kemudian Moyes dipecat dan Louis van Gaal dilantik, ia situasi yang rumit," katanya kepada The Athletic.

"Louis menuntut masa untuk membina projeknya sendiri. Saya tidak mendengar apa-apa daripada United buat seketika dan mula meraguinya (perpindahan itu).

"Kemudian Piala Dunia berlangsung sebelum Carlo Ancelotti membuat panggilan. Dan itu sahaja."

Liverpool juga berusaha memancing Kroos daripada Bayern dan pemain berusia 30 tahun itu juga menerima teks daripada Luis Suarez yang memintanya berhijrah ke Anfield.

"Ia bukan satu perbualan terbuka tetapi mereka bersedia memberitahu saya lebih lanjut tentang kelab oti dan sebagainya," katanya mengenai perbincangan dengan kelab Merseyside berkenaan.

"Apa yang melucukan, Suarez pula hampir pasti akan angkat kaki ke Barcelona!"

Kroos dikaitkan dengan seteru yang bakal dihadapi dalam pusingan 16 UCL, Manchester City, awal pagi Khamis ini, tetapi sempat menolak pertemuan dengan bekas pengurusnya di Bayern, Pep Guardiola.

"Saya mahu menamatkan kerjaya di Madrid jadi saya katakan ia tidak mungkin akan berlaku," katanya, yang sebelum ini memberi isyarat bahawa dia mungkin bersara sebaik kontraknya berakhir pada 2023.

"Tetapi saya gemar beraksi di bawah bimbingannya. Sudah tentu saya tidak memikirkan soal memeterai kontrak baru adalah satu tindakan yang sesuai berdasarkan pengurus semata-mata.

"Pep mahu saya memperbaharui kontrak tetapi apa yang akan terjadi kepada saya sekiranya saya melanjutkan perjanjian selama lima tahun lagi tetapi pengurus pula akan berpindah?

"Dua tahun kemudian, dia ke Man City tetapi kami masih berhubung dan masih terjalin dengan baik, saya tidak akan melupakannya kerana saya banyak belajar daripadanya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen