Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berdepan kritikan dan telah belajar untuk menghadapinya sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Legenda Perancis itu dihujani kritikan selepas Madrid sekadar seri 3-3 dengan Legia Warsaw dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Zidane berkata dia tidak terlalu memikirkan kritikan itu dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasukan menjelang aksi La Liga berdepan Leganes di Santiago Bernabeu.

"Kritikan akan sentiasa ada," jelas Zidane.

"Perkara yang paling penting buat saya adalah pertemuan berdepan Leganes.

"Saya telah hidup dengan kritikan lebih daripada 30 tahun, jadi saya menyedari ia tidak akan berubah. Apa yang boleh saya lakukan adalah untuk mempertingkatkan mutu permainan pasukan saya.

"Kami perlu bekerja keras di atas padang untuk menjaringkan gol dan cuba untuk tidak dibolosi. Kami tidak mahu kehilangan mata lagi.

"Saya tidak boleh mengawal kritikan, saya hanya menjalankan tugas saya dan memberikan tumpuan untuk perlawanan ini."