Kritikan Enrique tidak wajar -- Moreno

Oleh Staff Writer 29 November 2019 155
Kritikan Enrique tidak wajar -- Moreno
Bekas ketua jurulatih Sepanyol, Robert Moreno, berkata kritikan Luis Enrique yang menyifatkannya sebagai individu yang tidak setia dan bercita-cita tinggi adalah sesuatu yang tidak adil.

Moreno bertindak selaku pembantu Enrique untuk skuad kebangsaan sehingga bekas pengurus Barca itu mengundurkan diri Jun lalu bagi menjaga anak perempuannya, Xana, yang mengalami kanser tulang sebelum meninggal dunia Ogos lalu.

Situasi itu membolehkan dia bertindak selaku ketua jurulatih dan mengemudi Sepanyol dalam kelayakan Euro 2020 sebelum Enrique memberitahunya akan kembali selaku pengurus.

Moreno tidak dipilih dalam staf kejurulatihan yang diketuai Enrique bagi tempoh yang kedua tatkala motivasinya dipersoalkan.

Namun, dia membalas kritikan itu semalam dengan mendakwa dirinya sentiasa yakin dengan Enrique.

"Saya tidak mahu mencuba tetapi telah diserang secara peribadi dan dilabelkan dengan sesuatu yang tidak benar tentang diri saya," katanya.

"Dalam perkara ini, hak saya terbatas. Sembilan tahun lalu, saya mula bekerjasama dengan Enrique. Kami  sentiasa mengikutinya, yakin sehingga dia mengemudi skuad kebangsaan.

"Tiada siapa tahu berapa lama dia akan meninggalkan pasukan tetapi apa yang kami maklum, jika terdapat kemungkinan untuk dia kembali, staf kami juga akan kekal.

"Jadi, saya kekal dan mengendalikan pasukan. Jika saya tidak melakukannya, Enrique bukan ketua jurulatih Sepanyol ketika ini dan mungkin pengurus lain."

Moreno juga mendedahkan dia terperanjat selama seminggu selepas mendapat tahu Enrique tidak lagi perlukannya sebagai pembantu jurulatih.

Dia menambah: "Ketika ini, sejujurnya saya tidak tahu mengapa dia tidak mahu saya bersamanya. Saya tidak tahu kerana dia tidak menjelaskannya dalam sidang media.

"Dia melabelkan saya tidak setia dan bercita-cita tinggi. Ia sangat buruk dan saya tidak berhak menerimanya. Saya telah membuktikan bahawa saya bukan individu begitu ketika bekerja dengannya.

"Selama bertahun-tahun bekerjasama dan saya masih tidak tahu. Dia tidak dapat menjelaskannya atau mungkin saya tidak faham berdasarkan apa yang orang ramai sampaikan memandangkan saya tidak menonton sidang media itu."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen