Jurulatih penjaga gol skuad B-23 negara, Kris Yong Wai Hong, menafikan yang dia meminggirkan Haziq Nadzli dan Azri Abdul Ghani selepas kedua-dua penjaga gol itu tidak tersenarai dalam pemilihan pemain ke Piala Newspaper yang akan berlangsung di Vietnam, bulan depan.

Tiada nama besar dipanggil dalam senarai tiga penjaga gol kali ini yang menyaksikan hanya Damien Lim Chien Kai, Hamka Daud dan Nik Mohd Amin tersenarai.

Menurut Kris, perancangannya memanggil muka-muka baru adalah disebabkan dia sudah mengetahui kemampuan Haziq dan Azri.

Tambahnya, dia mahu memberikan peluang kepada mereka bertiga selepas mempamerkan potensi tersendiri dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Presiden.

"Haziq dan Azri masih dalam perancangan saya, namun kejohanan itu merupakan pentas buat saya menilai kemampuan pemain-pemain muda yang menyerlah dalam saingan tempatan," katanya

Skuad negara bakal melalui tiga perlawanan dalam kejohanan di Nah Trang City itu.

Beberapa pemain B-19 yang beraksi dalam Kejohanan AFC, Oktober lalu, seperti Shivan Pillay Asokan, Zahril Azri dan Al Imran Abdul Halim turut terpilih.

"Kami akan menentang pasukan Indonesia, Myanmar dan tuan rumah, Vietnam.

"Mereka merupakan pasukan terbaik di rantau ini.

"Vietnam, terutamanya, perlu diberikan perhatian berdasarkan reputasi mereka mara ke separuh akhir Kejohanan AFC B-23," katanya lagi.