Krestinin utamakan kualiti permainan

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 213
Krestinin utamakan kualiti permainan
Jurulatih Kyrgyzstan, Aleksandr Krestinin, lebih mengutamakan kualiti permainan berbanding keputusan aksi persahabatan menentang Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Kyrgyzstan mempunyai rekod baik dalam pertemuan menentang pasukan dari Asia Tenggara dengan tidak pernah tewas sejak 2017.

Ia termasuk kemenangan besar 5-1 ke atas Myanmar dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, Mac lalu.

Selain itu, mereka juga tidak tewas dalam dua aksi persahabatan sebelum ini apabila mengikat Palestin 1-1 selain menewaskan Syria di Bishkek, September lalu.

Begitupun, Krestinin menjelaskan kualiti permainan lebih menjadi keutamaan kerana beliau masih mencari kepelbagaian serta keserasian pemain bagi membentuk satu skuad mantap untuk kempen Piala Asia nanti.

"Kami tidak boleh membandingkan aksi ini dengan perlawanan terdahulu. Kami mengambil pendekatan cukup serius dalam setiap perlawanan dan semua pemain dalam keadaan yang terbaik untuk pertemuan ini," kata Krestinin.

Sementara itu, kapten Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt, menganggap ia satu penghormatan jika disenaraikan ke dalam skuad untuk Piala Asia yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemain yang beraksi bersama kelab divisyen satu Poland, GKS Tychy, itu bakal memainkan peranan penting di bahagian tengah untuk cuba menyekat pergerakan skuad negara dalam aksi persahabatan malam ini.

"Setiap pemain yang berada di dalam pasukan ini mahu beraksi dalam kejohanan utama. Jika anda bertanya kepada saya, sudah tentu saya mahu terlibat dalam kejohanan yang terbesar disertai oleh negara kami," kata Bernhardt.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen