Kovac tuntut Bayern baiki bisa di depan gawang 

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2018 64
 Kovac tuntut Bayern baiki bisa di depan gawang 
Bayern Munich mungkin telah kembali menemui rentak sebenar menerusi tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, namun Niko Kovac mengatakan bahawa mereka masih perlu lebih klinikal di hadapan gawang.

Kovac mendapati dirinya mengalami tekanan hebat selepas Bayern gagal memenangi empat perlawanan berturut-turut sejak akhir bulan lalu,.

Beliau, bagaimanapun, telah mengubah beberapa pendekatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang menyaksikan mereka menang ke atas Wolfsburg dan Mainz dalam aksi Bundesliga serta kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas AEK Athens.

Kemenangan 2-1 ke atas Mainz, Sabtu lalu, menyaksikan mereka mendaki ke tangga kedua liga selepas sembilan perlawanan dengan ketinggalan dua mata kepada pendahulu, Borussia Dortmund.

Tatkala gembira dengan kebangkitan pasukannya, Kovac menuntut sumbangan lebih besar lagi menjelang aksi pusingan keempat DFB-Pokal dengan Rodinghausen.

"Kami sudah kembali ke landasan sebenar. Namun, kami juga mahu memenangi perlawanan seterusnya," katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

"Saya lihat banyak perkara positif pada hujung minggu lalu tetapi kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.

"Dalam perlawanan pembukaan musim, setiap percubaan akan menghasilkan jaringan tetapi ia tidak lagi berlaku. Tiga perlawanan terakhir menyaksikan kami menampilkan tumpuan yang tinggi."

Bayern menuju ke utara untuk menghadapi pasukan yang hanya tumpas sekali dalam lapan perlawanan terakhir mereka sementara Kovac pula masih belum mencaturkan kesebelasan utamanya.

Beliau menegaskan bahawa juara 18 kali berkenaan tidak akan mengambil mudah cabaran tersebut sungguhpun terdapat jurang ketara di antara kedua-dua kelab.

"Keutamaan kami adalah ingin melepasi halangan ini," katanya. "Itulah matlamat kami.

"Kami akan bermain menentang pasukan divisyen keempat, ia bukan laluan mudah. ​​Kami tidak akan memandang rendah lawan, saya tidak pernah melakukannya.

"Kami mengambil serius hal ini dan tidak mahu memberikan sebarang peluang kepada lawan."

James Rodriguez, Jerome Boateng dan Arjen Robben mungkin tersisih manakala khidmat Sven Ulreich terpaksa dilupakan kerana isterinya sedang sarat mengandung. 

"James berada dalam pesawat selama sembilan jam, dia tidak sihat," tambah pengurus Bayern itu. 

"Jerome Boateng dijangkiti virus gastrointestinal, Sven Ulreich sedang menemani isterinya yang menanti kelahiran cahaya mata mereka.

"Kami akan terus memantau perkembangan Leon Goretzka sama ada dia pulih atau tidak. Mats Hummels pula tidak mengalami patah tulang, jadi masih ada harapan untuknya diturunkan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen