EINTRACHT FRANKFURT 5 BAYERN MUNICH 1

Nico Kovac menerima masa depannnya selaku pengurus Bayern Munich semakin terancam, namun masih enggan mengaku kalah selepas pasukannya diaibkan dengan kekalahan 1-5 kepada bekas kelab bimbingannya, Eintracht Frankfurt, dalam Bundesliga lewat malam tadi.


Juara Bundesliga itu berdepan kesukaran selepas Jerome Boateng dilayangkan kad merah pada sembilan minit pertama perlawanan di Commerzbank-Arena itu dan berdepan kekalahan terburuk dalam liga sejak musim 2008-09.

Robert Lewandowski menemui sasaran buat Bayern selepas Filip Kostic dan Djibril Sow terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan, namun gol David Abraham, Martin Hinteregger dan Goncalo Paciencia dalam babak kedua menambahkan tekanan buat Kovac.

Bayern keciciran mata dalam separuh daripada 10 perlawanan liga musim ini dan menduduki tangga keempat dengan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Borussia Monchengladbach.

Bagaimanapun, Kovac masih berdiri teguh biarpun terdapat spekulasi bahawa pengerusi Bayern akan mengambil tindakan ke atasnya menjelang pertembungan 'Klassiker' menentang Borussia Dortmund minggu depan.

"Saya tidak mengaku kalah musim lalu dan saya tidak akan mengaku kalah sekarang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Apabila berada dalam situasi seperti ini, anda perlu bertenang.

"Saya tinggalkan segala kesedihan dan kekecewaan di sini.

"Saya bukan bodoh, saya tahu perkara ini.

"Tetapi saya tidak akan mengaku kalah," katanya.

Ditekan dengan lebih banyak soalan mengenai masa depannya di Arena Allianz, Kovac berkata: "Bagaimana saya hendak tahu? Anda mungkin lebih mengetahuinya. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai itu.

"Perasaan saya tidak penting. Anda perlu tanya kepada mereka yang membuat keputusan."

Bayern dibolosi 16 gol dalam 10 perlawanan pertama musim ini, rekod terburuk mereka sejak musim 2008-09, dan Kovac mengakui pasukannya bergelut selepas Boateng diarahkan keluar padang.

Pertahanan tengah berpengalaman itu dilayangkan kad merah ketujuhnya sepanjang beraksi dalam Bundesliga selepas mengasari Paciencia pada minit kesembilan.

"Kami menerima kad merah dan jika anda beraksi dengan 10 pemain selama 80 minit, ia akan menjadi sukar di Frankfurt," tambah Kovac.

"Mereka tidak memberikan laluan mudah buat kami.

"Tetapi anda tidak boleh tewas walaupun kekurangan seorang pemain.

"Ia amat mengecewakan dan menyakitkan hati.

"Saya tidak boleh menjadikannya sebagai alasan.

"Kami tidak bermain seperti yang sepatutnya dalam babak pertama," katanya lagi.