Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, akur dengan kesilapan ulasan yang dilontarkannya terhadap Thomas Muller yang dipinggirkan daripada skuad utama.

Pemain berumur 30 tahun itu hanya membuat tiga kemunculan dalam Bundesliga musim ini apabila gagal menjaringkan sebarang gol berikutan pengurus itu lebih cenderung meletakkan pemain lain di jentera serangan.

Sebelum kekalahan 1-2 kepada Hoffenheim -- yang menyaksikan Muller muncul sebagai pemain gantian -- Kovac memaklumkan bahawa bekas tonggak kebangsaan Jerman itu hanya akan diberi peluang sekiranya mereka kekurangan pilihan.

Justeru, Muller melahirkan kekecewaannya dalam temu ramah ketika rehat antarabangsa selain dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Allianz Arena.

Begitupun, Kovac mendedahkan beliau telah bercakap dengan pemain itu secara peribadi dan menjelaskan ulasannya itu kerana percaya beliau memilih perkataan yang tidak tepat.

"Saya tidak boleh mengatakan siapa yang akan bermain pada setiap hujung minggu -- dan berhubung kenyataan yang dibuat, ia adalah satu kesilapan saya," katanya kepada wartawan apabila akan bertandang ke Augsburg.

"Cara saya meluahkan buah fikiran saya adalah salah tetapi saya membuktikan kesilapan itu dengan hakikat bahawa Thomas telah diberi peluang baru-baru ini.

"Saya bercakap dengan Thomas pada keesokan harinya, segala-galanya telah dijernihkan dan dia memahami apa yang saya maksudkan, jadi saya telah membuat kesilapan -- ia juga terjadi kepada saya, itulah kehidupan.

"Kami telah bercakap mengenainya tetapi tidak kira mana-mana pemain sekalipun, setiap orang yang tidak mendapat peluang beraksi pasti tidak akan berpuas hati, saya perlu membuat keputusan sebagai seorang pengurus dan saya tidak boleh meletakkan lebih daripada 11 pemain. Saya perlu mencari pasukan yang saya fikir boleh memenangi perlawanan.

"Bagi orang di luar, secara dasarnya pengurus tidak melakukan tindakan yang tepat. Saya tidak akan membiarkan diri saya daripada dibimbing, kami mempunyai idea tersendiri dan kami akan melaksanakannya."

Bayern kini dua mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Monchengladbach.