WERDER BREMEN 1 BAYERN MUNICH 2

Ketua jurulatih Bayern Munich, Nico Kovac, memuji barisan pemainnya sambil memberikan amaran untuk mereka beraksi lebih kemas selepas menewaskan Werder Bremen 2-1 dalam aksi Bundesliga di Bremen, malam tadi.


Juara bertahan itu merekodkan kemenangan Bundesliga pertama sejak 27 Oktober lalu dan perlu berterima kasih kepada Serge Gnabry yang menjaringkan dua gol ketika menentang bekas pasukannya itu.

Bayern sepatutnya menghasilkan lebih banyak jaringan berdasarkan peluang yang diperoleh sepanjang menguasai perlawanan tersebut.

Namun, ketumpulan penyudah di hadapan gawang Bremen menyaksikan tiada pertambahan jaringan menuju wisel penamat.

Bagaimanapun, juara liga 16 kali itu melengkapkan minggu yang baik buat Kovac selepas layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas menundukkan Benfica 5-1, Rabu lalu.

"Pasukan saya memaparkan aksi terbaik seperti yang dijangkakan," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Kami menguasai aspek taktikal dan teknikal sepanjang permainan.

"Barisan pemain memaparkan semangat juang tinggi dan ia sesuatu yang sangat baik.

"Jika ada kekurangan, ia adalah tentang bagaimana kami menyudahkan peluang terhidang.

"Terdapat enam atau tujuh peluang yang sepatutnya diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

"Namun, saya sukakan situasi itu, tanpa pengusaan bola, kami bertahan sebagai satu pasukan dan menghasilkan serangan balas pantas.

"Kami mempunyai ruang yang sepatutnya disudahkan jentera serangan.

"Bagaimanapun, saya mahu mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan di atas persembahan yang menakjubkan itu," tambahnya.

Kemenangan 2-0 Borussia Dortmund ke atas Freiburg menyaksikan Bayern kekal ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga itu.

Gnabry menjadi bukti kepada kebangkitan pasukan itu selepas aksi terumbang-ambing sepanjang bulan lalu.

"Kemenangan itu memberikan kami kelegaan dan membina keyakinan pasukan.

"Kami tidak membenarkan sebarang kesilapan serius berlaku.

"Kami sedar situasi dalam kedudukan liga dan tiga mata itu amat penting buat kami.

"Saya gembira dapat menjaringkan dua gol yang dapat membantu kemenangan pasukan," kata pemain kebangsaan Jerman itu.