HANNOVER 0 BAYERN MUNICH 4

Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, percaya pasukannya telah memaparkan aksi terbaik sepanjang musim ini ketika menewaskan Hannover 4-0 dalam Bundesliga, malam tadi.


Bayern sebelum ini gagal memaparkan aksi konsisten sepanjang musim.

Keadaan itu mengakibatkan kedudukan Kovac selaku pengendali pasukan turut dipersoal.

Namun, mereka memaparkan aksi luar biasa di HDI-Arena, malam tadi.

Hanya seminit diperlukan Joshua Kimmich untuk menghasilkan jaringan voli menarik sebelum David Alaba menggandakan jaringan menerusi gaya penyudah yang hampir sama pada minit ke-29.

Penguasaan Bayern berterusan dalam babak kedua.

Serge Gnabry dan Robert Lewandowski melengkapkan kemenangan 4-0 Bayern dalam babak tersebut.

Kovac kagum dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya sambil menyatakan dia tidak pernah melihat Bayern beraksi seperti itu sepanjang musim ini.

"Saya mahu memuji pasukan saya.

"Selepas aksi sukar di Amterdam (seri 3-3 dengan Ajax), mereka bangkit memaparkan aksi terpuji daripada aspek fizikal dan mental.

"Kami mendominasi keseluruhan perlawanan.

"Kami mencipta banyak peluang dan kemenangan itu pasti melegakan kami.

"Kami memusnahkan strategi lawan.

"Pemain menikmati perlawanan, kreatif dan banyak melakukan serangan.

"Ia perkembangan yang baik.

"Saya berasakan ia merupakan persembahan terbaik kami sepanjang musim ini," katanya.