Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mempertahankan ketua jurulatih, Niko Kovac, yang dilihatnya masih mampu untuk mengembalikan kejayaan buat pasukan itu.

Selepas menjuarai Bundesliga dengan kelebihan 21 mata di bawah kendalian Jupp Heynckes musim lalu, Bayern kini ketinggalan sembilan mata di belakang Barussia Dortmund selepas sembilan perlawanan di bawah seliaan Kovac.

Bekas pemain kebangsaan Croatia berusia 47 tahun itu berdepan kritikan hebat terhadap kedudukan pasukan dan gaya disiplin yang diterapkannya.

Bagaimanapun, Rummenigge mempertahankan kedudukan jurulatih itu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kelab itu, malam tadi.

"Saya menggemarinya secara individu dan kami mengharapkannya untuk kekal sebagai jurulatih Bayern Munich bagi tempoh yang lama," katanya.

Walaupun mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati selepas menewaskan Benfica 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu, Bayern gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Bundesliga.

"Saya dapat lihat Niko Kovac sedang bangkit dengan melakukan beberapa perubahan dalam pasukan.

"Kami tidak akan mengibarkan bendera putih.

"Mengaku kalah tiada dalam kamus hidup kami," tambahnya.