Jupp Heynckes percaya pengendali Bayern Munich yang baru dilantik, Niko Kovac, telah ditakdirkan untuk mengendalikan pasukan itu.

Pasukan yang baru dinobatkan juara Bundesliga musim 2017/18 itu mengumumkan semalam bahawa pengurus Eintracht Frankfurt itu bakal mengambil alih jawatan ketua jurulatih di Allianz Arena, bermula 1 Julai selama tiga tahun.

Heynckes yang memegang jawatan itu sejak Carlo Ancelotti dipecat pada September tahun lalu sehingga penghujung musim ini menyifatkan pelantikan bekas pemain Croatia itu sebagai langkah bijak.

"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Kovac pernah bekerja dengan banyak jenis pemain di Frankfurt," kata Heynckes.

"Dia menjalankan tugasnya dengan baik, jadi tentunya dia telah ditakdirkan sebagai pengurus Bayern.

"Kejayaannya telah membuatkan saya amat kagum dengan dirinya. Dia juga seorang yang gigih, jadi tiada masalah untuknya.

"Kovac seorang yang inovatif. Dia merupakan pengurus yang cintakan bola sepak dan sentiasa mengekalkan komunikasi yang baik dengan pemain-pemain. Saya rasa Bayern telah melakukan tindakan tepat."