BAYERN MUNICH 1 FREIBURG 1

Ketua jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac, berkata pasukannya "berang dan sedih" selepas seri 1-1 dengan Freiburg di Allianz Arena, semalam.


Jaringan pembukaan Serge Gnabry dinafikan oleh Lucas Holer pada minit ke-89, sekali gus menyaksikan Bayern tercicir empat mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Kovac menyifatkan keputusan seri itu telah menjejaskan persembahan yang dipamerkan oleh Bayern di laman sendiri.

"Berdepan Augsburg, kami kehilangan mata pada minit ke-89 dan sekali lagi ketika bertemu Freiburg. Ini merupakan empat mata yang sangat berharga tetapi kami telah terlepas meraihnya," kata Kovac.

"Kami sangat marah dan kecewa mengenainya. Inilah bola sepak dan kehidupan. Kami memiliki perlawanan dalam tempoh tiga hari dan mahu menang."

Gnabry meletakkan Bayern di depan pada minit ke-80 tetapi Holer berjaya menampan hantaran Christian Gunter bagi memastikan Freiburg pulang dengan satu mata.

Kovac tidak boleh menerima hakikat Bayern telah melepaskan kelebihan dan gagal meraih kemenangan keempat dalam 10 perlawanan musim ini.

"Freiburg banyak memberikan tekanan kepada kami. Mereka menurunkan dua penyerang yang berkualiti.

"Gunter sangat aktif di bahagian sayap. Kami mendahului perlawanan tetapi gagal mengekalkannya."

Sebelum berkunjung ke Dortmund pada 10 November ini, Bayern bakal berdepan AEK Athens dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.