Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, menegaskan pengurus yang sedang dalam tekanan, Niko Kovac, akan mengendalikan pasukan bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Benfica, Selasa ini.

Masa depan Kovac menjadi persoalan selepas tewas di tangan Borussia Dormund sebelum aksi antarabangsa dan apabila kembali, mereka diikat 3-3 oleh Fortuna Dusseldorf di Allianz Arena, semalam.

Bayern mendahului 3-1 ketika aksi berbaki 13 minit tetapi kerapuhan benteng membolehkan Dodi Lukebakio menyumbat gol melepasi Manuel Neuer dan menyamakan kedudukan dalam tiga minit waktu kecederaan untuk melengkapkan hatriknya.

Keputusan itu diraih tatkala Dortmund menundukkan Mainz 2-1, yang bermakna Bayern kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Bundesliga itu.

Bagaimanapun, Hoeness percaya Kovac tetap akan mengendalikan pasukan bagi saingan Kumpulan E, pertengahan minggu ini.

Mereka hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat dalam pusingan seterusnya dan Hoeness memberitahu wartawan: " Selasa nanti, jurulatih kami, Kovac, akan membimbing pasukan. Itu pasti."

Dalam masa sama, Thomas Muller yang menjaringkan dua gol selepas jaringan pembukaan oleh Niklas Sule, berkata peminat berhak mempamerkan kekecewaan mereka sambil mengecam rakan sepasukannya yang cuai.

"Kami diejek selepas perlawanan dan ia sesuatu yang boleh difahami," ujar Muller.

"Saya masih terkejut apabila kami dibolosi di penghujung perlawanan. Mungkin kami kehilangan 100 peratus ketepatan. Kami terlalu cuai.

"Kami mahu menang, mendapatkan tiga mata dan terus mara ke depan."