Pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly, tidak menyesal setelah membuat keputusan untuk mewakili Senegal berbanding Perancis.

Koulibaly dilahirkan di Perancis oleh ibu-bapa berbangsa Senegal dan berkembang menjadi salah seorang bek tengah terbaik dunia sejak menyertai Napoli dari Genk pada 2014.

Pemain berusia 27 tahun itu mewakili skuad B-20 Perancis tetapi membuat keputusan untuk menyarung jersi tanah air ibu-bapanya pada 2015.

Sekiranya kekal bersama Les Bleus, dia mungkin menjadi sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Dunia di Russia tetapi Koulibaly yakin telah membuat keputusan tepat.

"Saya tidak menyesal kerana mahu mencipta masa depan dalam bola sepak Senegal dan berharap mampu melakukannya," kata Koulibaly.

"Bagi saya, Piala Dunia adalah pengalaman menarik kerana mahu membuktikan bahawa Senegal merupakan salah satu pasukan terbaik di Afrika.

"Saya bercakap mengenai keputusan itu dengan isteri saya dan memilih untuk bersama Senegal.

"Apabila melihat wajah ibu-bapa saya sewaktu memberitahu telah memilih Senegal, saya sangat gembira dan selesa dengan keputusan yang dibuat."