Kalidou Koulibaly sekali lagi menegaskan pendirian untuk kekal bersama Napoli selepas dia dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

United terus dikaitkan dengan pertahanan Napoli, Koulibaly, di sebalik telah mendapatkan pertahanan termahal dunia, Harry Maguire, pada permulaan musim 2019-2020.

The Red Devils dilaporkan bertekad memperkuatkan jentera pertahanan, bahagian yang sentiasa menjadi masalah utama mereka walaupun selepas mendapatkan khidmat Victor Lindelof dan Eric Bailly.

Bagaimanapun, pertahanan kebangsaan Senegal itu menjelaskan dia gembira berada di Naples.

"Di sini tempat anak-anak saya dilahirkan," kata Koulibaly menerusi Twitter. "Di sini juga saya membesar menjadi seorang dewasa dan seorang pemain.

"Di sini saya dan keluarga berasa di seperti di rumah #Napoli."

Koulibaly membentuk dirinya sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia sejak berhijrah dari Genk ke Napoli pada 2014.

Pemain berusia 28 tahun itu telah melakukan 10 penampilan dalam saingan Serie A dan 14 perlawanan bagi semua kejohanan di bawah kendalian Carlo Ancelotti.