Jaringan hatrik pada separuh masa pertama oleh Mario Mandzukic membantu Crotia melakar kemenangan besar 6-0 ke atas Kosovo yang beraksi secara kompetitif buat kali pertama di laman sendiri.

Kosovo, yang terpaksa beraksi di Shkodra, Albania susulan tidak mempunyai stadium yang mencapai piawaian UEFA, memulakan kempen pertama mereka di laman sendiri selaku ahli UEFA.

Penyerang Juventus itu membuka tirai jaringan apabila berjaya menewaskan penjaga gol pada awal permainan sebelum menambah dua lagi gol menerusi tandukan.

Matej Mitrovic menambah duka pasukan tuan rumah dari jarak dekat pada babak kedua sebelum Ivan Perisic dan Nikola Kalinic meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit terakhir.

Keputusan itu menyaksikan Croatia kini berkongsi empat mata bersama Iceland untuk mendahului Kumpulan I, manakala Kosovo kekal di kedudukan terakhir dengan satu mata.