Koronavirus: Harimau Malaya cari pengganti aksi pemanas badan 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Februari 2020 563
Koronavirus: Harimau Malaya cari pengganti aksi pemanas badan 
Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat untuk berdepan Bahrain tatkala kunjungan ke Stadium Al-Maktoum hanya berbaki sebulan lagi sebagai medan persiapan untuk menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Aksi persahabatan yang dijadualkan pada 22 Mac depan itu terpaksa dibatalkan berikutan kerajaan Bahrain mengenakan sekatan perjalanan membabitkan individu-individu dari negara yang berhampiran wabak koronavirus termasuk Malaysia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan perkara itu selain menjelaskan mereka perlu merangka semula persiapan akhir buat skuad kebangsaan yang akan diputuskan bersama ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, esok.

Badan induk itu menerima secara terbuka pembatalan perlawanan persahabatan itu kerana menganggap kesihatan barisan pemain menjadi keutamaan.




"Tiada siapa pun yang boleh menjangkakan tiba-tiba sekatan perjalanan ini akan dikuat kuasakan.

"Bukan sahaja kami, pasukan seperti Korea Selatan dan Thailand juga terjejas terhadap perkara ini.

"Kami akan membincangkannya bersama Cheng Hoe dalam mencari penyelesaiannya sebab keutamaan perlu diberikan kepada pasukan kebangsaan bagi menjalani persediaan yang diperlukan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen