Pertemuan kedua separuh akhir Coppa Italia di antara Juventus dan Milan di Turin telah ditangguhkan kerana kebimbangan terhadap penyebaran wabak koronavirus baru (covid-19).

Selepas keputusan Perdana Menteri semalam yang memperkenalkan garisan sekatan ke atas acara-acara sukan di seluruh negara sehingga 8 Mac, pertembungan Juve dan Milan di wilayah paling teruk terjejas itu telah ditetapkan di stadium tertutup awal pagi esok.

Bagaimanapun, selepas pertemuan yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Turin, Chiara Appendino, dan Ketua Wiliayah Turin, Claudio Paolomba, serta wakil kelab dan kementerian setempat semalam, keputusan itu terpaksa diambil dengan kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 dalam aksi pertama.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Juventus: "Perlawanan ini telah ditangguhkan ke tarikh yang belum disahkan seperti yang diumumkan Lega Serie A setelah mengambil kira perintah daripada ketua wilayah Turin yang dikeluarkan sejurus mesyuarat hari Selasa (semalam) mencapai kesimpulannya."

Juara bertahan Serie A itu juga terpaksa menangguhkan pertemuan 'Derby d'Italia' dengan Inter yang menjadi salah satu daripada lima perlawanan Serie A yang ditunda pada hujung minggu lalu.

Pada asalnya mereka dijadual akan melangsungkan perlawanan itu di stadium tertutup sebelum ia dipinda ke 13 Mei.

Media melaporkan Kerajaan Itali sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan kesemua acara sukan selama sebulan untuk mengurangkan penularan koronavirus di negara Eropah yang paling terjejas itu.

Wabak itu dilaporkan telah menjangkiti lebih daripada 2,500 orang di Itali dengan melibatkan 79 kematian.