Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan mengadakan satu mesyuarat tergempar Selasa ini bagi membincangkan kemungkinan untuk merombak perlawanan kelab-kelab terbaik benua ini dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) berikutan wabak koronavirus.

Perlawanan peringkat kumpulan Zon-Timur dijadualkan pada 11 dan 12 Februari ini tetapi kekangan perjalanan dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap virus maut itu boleh memaksa badan pentadbir berkenaan mengambil beberapa langkah, menunda tarikh perlawanan.

Mesyuarat di Ibu Pejabat AFC, Kuala Lumpur itu akan melibatkan keseluruhan pemegang kepentingan -- persatuan-persatuan ahli, liga, kelab dan agensi komersial yang menyertai pertandingan kelab-kelab terbaik Asia itu.

"Mesyuarat itu akan membincangkan kesan kekangan perjalanan yang dilaksanakan pelbagai kerajaan berikutan penularan wabak koronavirus dan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan wabak itu sebagai satu darurat kesihatan awam.

"Selaku badan pentadbir bola sepak di Asia, AFC komited untuk menjaga pertandingan ini dan membuat perancangan yang wajar dan sesuai, termasuk tetapi tidak terhad kepada penjadualan semula perlawanan di Zon Timur,” kata AFC dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Bolasepak Australia memaklumkan kepada AFC bahawa jadual perlawanan peringkat kumpulan pertama di Perth dan Sydney tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan perjalanan berikutan wabak berkenaan di negara itu.

Perth Glory FC akan menjadi tuan rumah kepada Shanghai Shenhua pada 11 Februari ini sementara Sydney FC akan berdepan Shanghai SIPG sehari kemudian.

Juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), adalah wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan berprestij Asia itu dan diundi dalam Kumpulan G bersama wakil Jepun, Vissel Kobe; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan dan kelab China, Guangzhou Evergrande FC.

Skuad Harimau Selatan itu akan memulakan sepak mula kempen ACL dengan bertemu Vissel Kobe di Stadium Misaki Park pada 12 Februari ini sementara Suwon Samsung Bluewings akan menjadi tuan rumah kepada Guangzhou Evergrande FC di Stadium Suwon World Cup pada hari yang sama.

Beberapa acara sukan, termasuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, turut dibatalkan dan ditunda berikutan penularan wabak itu.

-- BERNAMA