Zlatan Ibrahimovic menyasarkan untuk membawa Milan kembali "ke tempat selayaknya" sebaik melanjutkan kontraknya selama setahun lagi bersama kelab Serie A itu.

Bekas ketua pasukan Sweden itu memberi impak yang cukup besar sejurus tiba Januari lalu yang menyaksikannya menjaringkan 11 gol dalam 20 penampilan.

Dia kini mencapai kesepakatan baru dengan kelab itu dan mengharapkan Rossoneri untuk mencabar kejuaraan dalam kempen 2020-21.

"Saya datang ke mari untuk membawa Milan kembali ke tahap sebenar mereka, di mana mereka sepatutnya berada," katanya kepada Milan TV.

"Saya akan melakukan segala-galanya untuk mencapai matlamat yang saya tetapkan.

"Kami harus bekerja keras dan berkorban, enam bulan terakhir lalu kami menunjukkan bahawa kami memiliki apa yang diperlukan untuk mencapai tujuan tertentu.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh lupa bahawa kita belum memenangi apa-apa pun. Di minda saya, matlamatnya sering terarah kepada keinginan untuk memenangi sesuatu. Musim ini kami mesti menang."



Skuad kendalian Stefano Pioli itu mengakhiri kempen Serie A 2019-20 dengan mencatat 12 perlawanan tanpa kalah bagi menamatkan saingan di tangga keenam dan meraih tempat dalam Liga Europa, justeru Ibrahimovic menegaskan bahawa standard itu perlu diteruskan.

"Milan perlu meneruskan semangat sebagaimana ketika penghujung musim lalu. Kami harus bekerja keras dan memiliki kepercayaan, seperti yang telah kami lakukan baru-baru ini," tambahnya.

"Kami perlu beraksi dengan rasa bangga dan yakin, ingatlah ketika anda menyarung jersi Milan, ia adalah satu keistimewaan yang sangat besar tetapi pada masa yang sama menjadi sumber tekanan.

"Seluruh pasukan melakukannya dengan baik dan memahami apa yang diperlukan untuk sampai ke puncak. Sekarang, kami perlu mengerahkan kudrat bermula hari pertama lagi."

Pemain berusia 38 tahun itu pernah menghabiskan dua musim bersama Milan di antara 2010 dan 2012 dan mengatakan ia seperti berada di halaman sendiri.

"Saya sentiasa berasakan menjadi sebahagian daripada Milan walaupun ketika beraksi dengan pasukan lain," jelasnya.

"Mereka selalu melayani saya dengan baik sejak hari pertama.

"Ketika pertama kali tiba di Milan, saya tersenyum. Sesuatu yang belum pernah saya lakukan dalam karier sata sebelum ini. Saya berasa seperti di halaman sendiri dan saya tidak berasa seperti saya pernah pergi."