Vincent Kompany telah menerima panggilan semula untuk menyertai skuad Belgium bagi perlawanan antarabangsa bertemu Belanda dan Estonia bulan ini.

Pemain berusia 30 tahun itu telah membuat tiga penampilan untuk Manchester City musim ini sejak pulih daripada kecederaan pangkal paha dan telah dipilih oleh Roberto Martinez bagi menggantikan tempat Toby Alderweireld.

Pertahanan kelab Belgium, Gent, Thomas Foket dipanggil menyertai skuad kebangsaan buat pertama kali manakala Thorgan Hazard bakal bergandingan dengan abangnya, Eden, selepas pulih daripada kecederaan lutut.

Martinez masih lagi sedang mengatur kesebelasan utama dan memberitahu dia perlu melihat terlebih dahulu prestasi Kompany hujung minggu ini.

"Kami memiliki komunikasi yang baik dengan Manchester City. Kami mahu melihat prestasi Kompany ketika bertemu Middlesbrough kerana ia akan menentukan jika dia diperlukan untuk kedua-dua perlawanan.

Pemain tengah Roma, Radja Nainggolan, tidak terpilih untuk menyertai skuad kendalian Martinez, dengan bekas pengurus Everton itu berkata pemain berusia 28 tahun itu perlu meningkatkan semula tahap kecergasannya jika mahu kembali menyarung jersi The Red Devils.

"Dia terpaksa dilepaskan dan saya berasakan Naiggolan perlu mengembalikan kecergasannya ke tahap optimum."

Belgium bakal berdepan Belanda pada 9 November sebelum bertemu Estonia empat hari berikutnya.