Jurulatih Sime Darby, Ahmad Yusoff, menyifatkan komitmen tinggi yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang musim ini sebagai kunci utama kejayaan mara ke final saingan Piala FAM, sekali gus menempatkan diri ke kancah Liga Perdana musim depan.

Sime Darby hanya memerlukan tempoh setahun untuk kembali ke Liga Perdana selepas diturunkan ke saingan Piala FAM musim ini.

Diterajui Ahmad yang juga bekas pemain negara, Sime Darby mencapai misi itu menerusi kemenangan 1-0 ke atas Felcra FC dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FAM di Stadium Petaling Jaya, semalam.

The Giant Killers meneruskan kemaraan ke pentas final menerusi agregat 1-0 dibantu jaringan tunggal Zul Fahmi Awang pada minit ke-40.

"Saya sangat bersyukur dengan pemain-pemain kerana telah berusaha bersungguh-sunguh untuk memastikan pasukan kembali ke Liga Perdana bagi musim depan," kata Ahmad.

Sementara itu, ini adalah kali kedua berturut-turut Felcra FC gagal mencapai sasaran layak ke Liga Perdana selepas dikecewakan PKNP FC tahun lalu.

Muncul antara pasukan Piala FAM yang berbelanja besar musim ini, kegagalan itu sememangnya mengundang rasa kecewa warga Felcra.

"Prestasi keseluruhan pasukan amat baik. Kami sekali lagi gagal untuk mencapai matlamat, iaitu melangkah ke peringkat seterusnya," kata pengendali Felcra, Rosle Md Derus.

Kredit imej: FB Sime Darby FC