Penyerang negara, R. Kogileswaran, bertekad untuk menebus aksi hambarnya jika sekali lagi diberikan peluang membarisi kesebelasan utama menjelang perlawanan suku akhir Kejohanan AFC B-23 menentang Korea Selatan, Sabtu ini.

Kogileswaran mendapat kepercayaan pengendali, Datuk Ong Kim Swee, untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Arab Saudi kelmarin, sekali gus mengetepikan Jafri Firdaus Chew untuk mengetuai jentera serangan skuad negara.

Bagaimanapun, penampilan sulung pemain berusia 20 tahun itu gagal memberikan sebarang impak untuk membantu pasukan sebelum terpaksa dikeluarkan selepas tamat separuh masa pertama.

“Saya akan lakukan lebih baik berbanding aksi sebelum ini. Diharapkan jurulatih akan terus memberikan peluang dan saya akan beraksi bermati-matian untuk negara,” katanya.

Dalam masa sama, dia tidak menafikan faktor fizikal lawan sedikit-sebanyak menyukarkannya untuk beraksi baik dalam perlawanan itu.

Kogileswaran yang beraksi sebagai penyerang tunggal ternyata bergelut dalam beberapa keadaan, terutama ketika cuba melakukan asakan ke kubu lawan.

“Dalam karier saya, ia merupakan aksi terburuk pernah ditampilkan dan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.