Ronald Koeman tidak pasti di mana Ousmane Dembele akan bermain selepas tarikh tutup jendela perpindahan esok selepas penyerang Barcelona itu dikaitkan untuk menyertai Manchester United.

Dembele dilaporkan menjadi pilihan alternatif buat Manchester United seandainya gagal mendapatkan Jadon Sancho daripada Borussia Dortmund.

Selepas hanya menjadi penonton ketika Barca menewaskan Celta Vigo 3-0, Dembele sekali lagi tidak diturunkan ketika pasukannya terikat 1-1 dengan Sevilla dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.

Ketua jurulatih, Koeman, berkata mengenai Dembele selepas perlawanan itu: "Apa yang sedang berlaku di dunia? Saya tidak tahu.

"Buat masa ini, dia masih pemain Barcelona. Masih ada sehari untuk keluar masuk pemain, kita akan lihat.

"Saya memilih untuk menggunakan (Francisco) Trinao, Pedri and (Miralem) Pjanic daripada bangku pemain.

"Kami memerlukan lebih penguasaan, sebab itu saya melakukan pertukaran itu," katanya

Rekod permulaan 100 peratus Barca musim ini musnah sebaik diikat Sevilla di Camp Nou, di mana Luuk de Jong dan Philippe Coutinho muncul penjaring dalam perlawanan itu

De Jong membuka jaringan buat Sevilla seawal minit kelapan tetapi bintang Barca, Coutinho, kembali menyamakan kedudukan dua minit berselang

Barca dan Sevilla masing-masing kini mengumpulkan tujuh mata daripada tiga perlawanan dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Real Madrid.