Ronald Koeman berkata ia merupakan satu pencapaian "menakjubkan" apabila Belanda mengesahkan tempat dalam Euro 2020.

Seri tanpa jaringan dengan Ireland Utara di Belfast memastikan kedudukan dua teratas Kumpulan C buat Belanda tanpa mengira hambarnya prestasi mereka di Windsor Park, awal pagi tadi.

Koeman merupakan pemain utama ketika pasukan Belanda menjuarai Euro 88 di Jerman Barat tetapi beliau kini bertindak sebagai ketua jurulatih.

Pada malam yang mencabar, bekas bek tengah yang bergaya itu mengakui harus berpuas hati dengan seri tanpa jaringan sebelum tamat, yang mendorongnya memasukkan pertahanan, Nathan Ake, menggantikan penyerang, Ryan Babel, lewat dalam permainan.

Percaturannya berhasil untuk Belanda melangkah ke kejohanan utama yang pertama sejak Piala Dunia 2014, setelah gagal ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

"Sebagai sebuah pasukan, kami mahukan lebih dan menjadi lebih baik, tetapi kami telah meraih keputusan yang hebat untuk layak ke Euro 2020," kata Koeman kepada penyiar Belanda, NOS.

"Kami telah melakukannya dalam satu kumpulan yang mengandungi lawan hebat seperti Jerman dan
lawan yang merumitkan seperti Ireland Utara. Saya juga hanya mahu mengatakan ia menakjubkan bahawa kami telah layak."

Belanda kelihatan tanpa sengat apabila ketiadaan Memphis Depay yang diketepikan ekoran kecederaan dan bergelut mencetuskan serangan.

Pemain tengah, Frenkie de Jong, yang berpindah daripada Ajax ke Barcelona, teruja dengan kejohanan utama yang bakal disertai bersama Belanda.

"Kami telah lama tidak beraksi dalam kejohanan utama, semua orang sangat gembira," kata De Jong kepada NOS.

"Kami tidak melakukan banyak percubaan dalam perlawanan ini, kami seharusnya lebih berkesan ketika menyerang. Tetapi kami telah melangkah ke Euro 2020 dan itu adalah perkara yang paling penting."