Koeman stabil selepas jalani pembedahan jantung 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Mei 2020 66
Koeman stabil selepas jalani pembedahan jantung 
Pengurus Belanda, Ronald Koeman, selesai menjalani pembedahan jantung semalam. 

Pembedahan legenda skuad Oranje itu, yang beraksi sekitar 1980-an hingga 1990-an, dilaporkan ditangani oleh pakar di Amsterdam.

Menurut De Telegraaf, Koeman dibawa menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti (UMC) di kota itu dan perkara itu disahkan oleh isterinya, Bartina, serta ejen, Rob Jansen, apabila mendedahkannya dalam keadaan stabil.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi Wasserman Jansen kemudian mengesahkan bahawa pengurus itu telah selamat menjalani pembedahan dan akan dibenarkan pulang hari ini. 

Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB) menyiarkan satu mesej sokongan di Twitter dengan menyatakan: "Ini sesuatu yang mengejutkan. Mujur keadaannya bertambah baik. Semoga tabah dan cepat pulih."

Koeman menikmati karier gemilang sebagai pemain di peringkat kelab bersama Groningen, Ajax, PSV, Barcelona dan Feyenoord, sebelum beralih ke bidang pengurusan.

Dia pernah mengemudi Ajax, PSV, Benfica, Southampton, Feyenoord, Valencia dan Everton, sebelum bertindak sebagai pengurus Belanda pada 2018.

Koeman memimpin negaranya meraih tempat kedua Liga Negara-Negara tahun lalu selain mengesahkan kelayakan ke Euro 2020, yang dianjakkan ke tahun depan berikutan wabak koronavirus baru (Covid-19). 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen