PORTUGAL 0 BELANDA 3

Belanda memulakan era baru dalam bola sepak antarabangsa dengan melakar kemenangan 3-0 ke atas juara Eropah, Portugal, di Stade de Geneve, Switzerland, awal pagi tadi.


Keputusan itu juga membolehkan Ronald Koeman menikmati kemenangan pertamnya sejak mula membimbing skuad Oranje pada Februari lalu.

Belanda masih dalam pembinaan semula selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia tetapi mereka mempamerkan aksi yang baik di Geneva, mengatasi skuad yang diketuai Cristiano Ronaldo, tiga hari selepas dikecewakan England 1-0 di laman sendiri.

Memphis Depay, yang didakwa mempunyai kemampuan untuk menjadi pemain terbaik dunia, memberikan aksi cemerlang selepas meletakkan Belanda di depan menerusi penyudah menarik pada minit ke-11.

Ryan Babel kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-32 sebelum kapten, Virgil van Dijk, meledak untuk membawa Belanda berkelebihan tiga gol dalam masa tambahan separuh masa pertama.

Portugal, yang hampir dikejutkan Mesir sebelum mereka bangkit menjaringkan dua gol untuk menang 2-1 pada Jumaat lalu, mempunyai peluang tetapi sebaliknya pemainnya, Joao Cancelo, pula dibuang padang selepas sejam perlawanan berlalu.