Ronald Koeman menyifatkan kemenangan 2-0 Barcelona ke atas Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di laman lawan itu awal pagi tadi sebagai aksi terbaik mereka musim ini.

Barca bangkit dengan bergaya selepas kekalahan kepada Real Madrid dalam perlawanan Claasico hujung minggu lalu menerusi gol Ousmane Dembele dan jaringan penalti lewat permainan Lionel Messi untuk memperoleh dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Kumpulan G itu.

Juve gagal merekodkan sebarang percubaan tepat ke kubu pasukan gergasi Catalan itu dan walaupun kagum dengan cara pasukannya mengungguli perlawanan berkenaan, Koeman berasakan mereka sepatutnya menamatkan perlawanan itu lebih awal.

"Ini adalah perlawanan terbaik kami musim ini," katanya kepada wartawan.

"Ia adalah kemenangan yang besar ke atas pasukan utama Eropah dan kami berupaya bermain dengan cara yang kami cuba terapkan.

"Saya mahu kami bermain dengan tiga pertahanan, menolak seorang pemain ke atas untuk memperoleh lebih penguasaan di bahagian tengah.

"Ia bermakna kami dapat mencipta banyak gol dan sejujurnya, saya fikir kami sepatutnya menamatkan perlawanan ini lebih awal.

"Saya amat berpuas hati dengan permainan kami, dengan keputusan dan terutamanya dengan perwatakan yang pasukan ini pamerkan," katanya.

Barca mendominasi perlawanan itu dengan melakukan lebih 227 hantaran berbanding Juve untuk menguasai 59 peratus permainan.

Sergi Roberto, yang melengkapkan 94.5 peratus daripada keseluruhan hantarannya, berkata prestasi itu telah menunjukkan standard sebenar yang sepatutnya dipamerkan mereka secara tekal.

"Kami mahu menjadi pasukan Barcelona yang mendominasi permainan, yang memiliki bola, yang bertahan dengan baik dan kami sedang menuju ke arah itu.

"Amat penting untuk memperoleh enam mata daripada dua perlawanan. Ia hanya kemenangan dua gol tetapi ia boleh menjadi lebih daripada itu.

"Sesetengah percubaan tidak berjaya tetapi secara keseluruhan, ia memuaskan.

"Perkara terpenting adalah untuk terus mencipta peluang seperti ini," katanya.