Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman, gusar dengan cara pasukannya membenarkan gol kemenangan Atletico Madrid selepas tewas 0-1 dalam perlawanan LaLiga di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Barca berkunjung ke Madrid dengan hanya berbekalkan satu kemenangan daripada lima perlawanan LaLiga terakhir dan ketinggalan dalam kedudukan musim ini.

Dengan kekalahan itu -- yang ketiga dalam tempoh lebih kurang sebulan ini -- bermakna mereka mungkin menamatkan hujung minggu ini dalam kelompok separuh terbawah dan skuad Blaugrana itu kelihatan bergelut untuk bangkit daripada isu luar padang yang tidak menentu sejak pramusim lalu.

Gol tunggal perlawanan itu hadir pada penghujung babak pertama selepas Gerard Pique -- yang kemudian dikeluarkan kerana kecederaan lutut serius -- gagal memintas hantaran Angel Correa sebelum Yannick Carrasco melepasi halangan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, untuk menolak masuk ke gawang yang sudah tidak dijaga dari jarak 35 ela.

Seluruh situasi itu jelas menimbulkan kekecewaan Koeman.

"Ia merisaukan," katanya kepada Movistar.

"Untuk pasukan besar, membenarkan gol seperti ini... ia mustahil kerana ia sudah minit ke-47, kami memiliki bola dan kemudian mereka menjaringkan gol, 1-0.

"Kami mengawal permainan dan kami sedar kesukaran untuk mencipta peluang.

"Kami mempunyai dua peluang dan dengan keputusan 0-0, perlawanan itu pasti menjadi berbeza (jika mereka memanfaatkan peluang itu).

"Seperti mana-mana jurulatih, saya bertanggungjawab di atas keputusan ini," katanya.

Walaupun perjalanan kempen edisi ini masih panjang, kemenangan Atletico itu menyaksikan mereka kini berkelebihan sembilan mata di depan Barca.

Koeman menyedari keperluan untuk mengecilkan jurang itu dan menggesa pemainnya memberikan respons dengan memburu kemenangan berturut-turut selepas ini.

"Ia jurang yang agak besar tetapi masih ada banyak perlawanan liga.

"Kami sedar setiap perlawanan akan menjadi rumit tetapi selepas kekalahan ini, kami perlu memburu kemenangan berturut-turut yang amat penting.

"Saya pernah melihat pasukan yang berjuang sehingga ke saat akhir dan dapat menyamakan kedudukan dalam perlawanan, jadi daripada segi ini, saya tidak gusar," tambahnya.

Barca turut mengesahkan Pique mengalami kecederaan lutut dan perlu menjalani pemeriksaan susulan bagi menentukan tahap kecederaannya.