Ronald Koeman gembira apabila Lionel Messi memilih untuk hanya menentukan masa depannya bersama Barcelona pada penghujung musim ini.

Messi memohon untuk meninggalkan Barca pada 2020 tetapi tidak berjaya dan dia menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan bekas presiden pasukan itu, Josep Mario Bartomeu.

Kontrak pemain berusia 33 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini dan bakal menjadi pemain dengan status ejen bebas paling dinginkan sepanjang sejarah.

Ketika Messi, yang tidak diturunkan ketika pasukannya seri 1-1 dengan Eibar, Selasa lalu, dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada mahu meninggalkan pasukan itu atau tidak, ketua jurulatihnya, Koeman, tidak akan menggesa ketua pasukannya itu.

"Leo baik-baik sahaja. Dia berlatih pada 30 dan 31 (Disember), ketika pemain lain sedang berehat," kata Koeman menjelang perlawanan menentang Huesca.

"Tiada keraguan mengenainya, dia mempunyai kecergasan yang hebat dan bersedia, gembira dan amat teruja. Itulah yang penting buat kami.

"Dia berkata bahawa dia sudah tidak mahu membuat keputusan (ketika ini) dan ia perlu dihormati. Anda bebas melaporkan seperti yang anda mahukan.

"Dia sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan, saya tidak nampak sebarang masalah jika dia tidak mahu menentukannya sekarang," katanya.