Koeman akui masa depan makin samar selepas Everton tewas lagi 

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 356
Koeman akui masa depan makin samar selepas Everton tewas lagi 
EVERTON 1 LYON 2

Ronald Koeman mengakui bahawa masa depannya semakin tergugat selepas permulaan hambar Everton musim ini berterusan dengan kekalahan 2-1 kepada Lyon, awal pagi tadi. 


The Toffees hanya menang dua kali dalam 12 perlawanan terakhir mereka dan terperosok di dasar Kumpulan E, Liga Europa selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan pembukaan mereka.

Pada suatu ketika, mereka kelihatan hampir berkongsi mata selepas Ashley Williams membatalkan gol pembukaan awal Nabil Fekir, namun Bertrand Traore meledak gol pada baki 15 minit untuk mengecewakan skuad bimbingan Koeman itu dengan satu lagi kekalahan.

Mereka bakal menyambut kunjungan Arsenal di Goodison Park pada hujung minggu ini dalam perlawanan wajib menang, namun Koeman semakin meragui masa depannya apabila mengakui bahawa ahli lembaga kelab itu mungkin memutuskan untuk menyingkirkannya.

"Sudah tentu, jika kami tidak menang dan gagal menonjolkan aksi meyakinkan padahal pemain boleh melakukannya, maka pengurus selalu dipersalahkan," katanya kepada BT Sport.

"Keputusan akhir terletak di tangan pihak pengurusan, bukan saya. Saya kuat, saya cuba melakukan segala-galanya dan jika pengurusan menganggap saya bukan orang yang tepat untuk jawatan ini, maka mereka akan memberitahu saya," katanya.

Kekecewaan yang semakin meningkat di Merseyside disimpulkan oleh Williams yang mencetuskan perbalahan kedua-dua pasukan pada babak kedua ekoran kecederaan yang menimpa penjaga gawang Lyon, Anthony Lopes, sehingga mendorong peminat menyerang pasukan pelawat.

Koeman menganggap tindakan Williams itu didorong oleh kekecewaan tetapi dengan pantas mengalihkan perhatian terhadap prestasi pengadil.

"Ashley hilang kesabaran kerana dia seorang pemain yang mahukan kemenangan dan tidak dapat menanggung terlalu banyak kekecewaan," katanya lagi.

"Bagaimanapun, saya fikir kesilapan itu juga disebabkan pengadil. Pasukan lawan banyak berlakon dan dia tidak berbuat apa-apa, saya fikir Fekir sengaja merebahkan badan sebanyak 10 kali namun tiada kad kuning dikenakan dan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati kami. 

"Walaupun masa tambahan diberikan selama lima minit, perlawanan ini melibatkan enam penggantian pemain, iaitu sekurang-kurangnya tiga minit perlu diberikan, selebihnya baki perjuangan kami hanyalah manakala mereka menghentikan perlawanan sebanyak lapan kali kerana kecederaan tetapi hanya lima minit diberikan?"

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen